DAP Pulau Pinang akur tidak bubar

BAYAN LEPAS 15 Okt. –  Kerajaan negeri akur dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) tidak membubarkan semua Dewan Undangan Negeri (DUN) diterajui gabungan berkenaan termasuk Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri dan kepemimpinan DAP Pusat sudah cuba meyakinkan MPPH mengenai keupayaan menawan semula DUN Pulau Pinang jika dibubarkan serentak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang, menjelaskan sudah memaklumkan perkembangan itu kepada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, selain berharap rakyat dapat memahami keputusan terbabit.

Ditanya sama ada kecewa dengan keputusan itu, beliau sebaliknya menyifatkan perkembangan itu sebagai proses demokrasi yang harus diterima dan dihormati.

“Ini adalah proses rayuan dan begitulah keputusannya. Jadi kita terima seadanya. Majlis Presiden PH tidak setuju untuk DUN Pulau Pinang dibubarkan dan mahu ketiga-tiga negeri diterajui PH melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak.

“Kita terima keputusan ini dan akan fokus kepada PRU-15 serta 13 kerusi dimenangi DAP sebelum ini. Kita akan gerakkan jentera untuk memastikan kemenangan PH di negeri ini.

“Kita harap pengundi faham dan maklum mengenai kemungkinan segelintir yang kecewa dengan keputusan ini kerana ia mengikut demokrasi dan sudah diputuskan,”

katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Bilik Komputer di Pusat Jagaan Suri, Sungai Ara di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, berkata, gabungan itu memutuskan untuk tidak membubarkan DUN bagi tiga negeri diterajuinya iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Pada 5 Oktober lalu, Anwar mengumumkan tiga negeri yang ditadbir PH tidak akan membubarkan DUN jika PRU-15 diadakan tahun ini.

Bagaimanapun, DAP Pulau Pinang kemudian menghantar cadangan supaya pertimbangan semula dibuat, iaitu DUN dibubarkan selepas menerima pandangan orang ramai yang mahukan pilihan raya diadakan secara serentak.

Related posts

Leave a Comment