Covid-19: Sekatan mungkin dikenakan semula

SINGAPURA 15 Okt. – Singapura tidak menolak kemungkinan mengenakan semula sesetengah sekatan Covid-19 tetapi akan cuba untuk tidak mengganggu kehidupan biasa orang ramai, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Ini berikutan jumlah kes kian meningkat sejak kebelakangan ini yang didorong oleh varian baru Omicron itu serta kes jangkitan semula. 

Bercakap pada sidang media kemas kini mengenai gelombang terkini jangkitan varian XBB Covid-19,  Ong berkata, Kementerian Kesihatan (MoH) sedang memantau keadaan dengan teliti.

MoH tidak menolak kemungkinan mengenakan semula langkah-langkah pengurusan selamat (SMM) seperti pemakaian pelitup muka dan hidung.

Ong menarik perhatian bahawa Singapura sedang mengharungi satu lagi gelombang yang kian melandai tanpa langkah-langkah tersebut dan menegaskan Singapura tidak pernah mengisytiharkan bahawa Covid-19 adalah penyakit endemik.

“Kami tidak pernah mengisytiharkan bahawa ia bukan lagi ancaman kesihatan sosial, seperti dibuat di sesetengah negara.

“Apa yang kami lakukan adalah dengan setiap gelombang yang berjaya kami harungi, kami melonggarkan langkah jarak selamat, langkah pengurusan selamat sehingga ke satu tahap di mana hampir kesemuanya ditarik balik sekarang,”katanya.

Ong berkata Singapura akan berusaha “sedaya upaya” untuk tidak kembali ke fasa semasa “tempoh pemutus rantaian jangkitan”, “kewaspadaan dipertingkat” atau “apa-apa saja yang boleh mengganggu kehidupan biasa”.

Justeru beliau menggesa orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab peribadi dan mengambil langkah-langkah sewajarnya di tengah-tengah peningkatan jumlah kes sekarang ini. 

Ini termasuk melakukan ujian kendiri, mengasingkan diri dan memakai pelitup jika berasa tidak sihat atau tinggal bersama warga emas.

Related posts

Leave a Comment