MB tiada maklumat Najib calon Pekan

KUANTAN 14 Okt. – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang,  Wan Rosdy Wan Ismail belum menerima maklumat lengkap berhubung cadangan UMNO Pekan mencalonkan Najib Razak sebagai calon Parlimen Pekan.

“Setakat ini, saya tidak mendapat apa-apa maklumat dan saya akan rujuk kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan penasihat undang-undang negeri sekiranya ada pencalonan,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Zamri Ramli yang menamakan Najib yang juga bekas Perdana Menteri sebagai antara lima calon diketengahkan untuk Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam kenyataan semalam, Zamri mengesahkan nama Najib antara lima calon dikemukakan bahagian itu untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Najib yang juga penyandang kerusi itu kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman bersalah ke atasnya berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada PRU14, Najib mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas memperoleh majoriti 24,859 undi mengatasi tiga lagi pencabarnya di kerusi berkenaan.

Related posts

Leave a Comment