Shanghai bertindak kekang Covid-19

SHANGHAI: Sekurang-kurangnya lima daerah sudah menutup tempat hiburan, termasuk pawagam, bar dan gim, dalam usaha pihak berkuasa Shanghai mengekang penularan Covid-19.

Ahad lalu, pihak berkuasa berkata, tiada penutupan sekolah di seluruh bandar selepas timbul spekulasi melalui media sosial bahawa langkah itu akan dilaksanakan.

Bagaimanapun, ia kini berlaku selain peningkatan sekatan lain seperti penutupan kawasan kejiranan dan kawasan kediaman individu, sekali gus mengakibatkan tekanan kepada 25 juta penduduk Shanghai.

Menurut ibu bapa dan siaran media sosial, beberapa sekolah di seluruh bandar juga menangguhkan kelas secara bersemuka kerana kebimbangan terhadap jangkitan coronavirus yang semakin meningkat.

Selain sekolah, tempat seperti gim dan bar juga ditutup di daerah Shanghai Changning, Putuo, Jiading, Yangpu dan Qingpu.

Shanghai Disney Resort Sabtu lalu berkata beberapa kemudahan sudah ditutup dan persembahan dibatalkan untuk mengikuti keperluan kawalan Covid-19.

Kawalan ketat itu dilaksanakan selepas Shanghai melaporkan 38 jangkitan baharu, yang kesemuanya ditemui dalam kalangan mereka yang sudah pun dikuarantin.

Untuk rekod Presiden Xi Jinping menjadikan ‘Dasar Sifar Covid-19’ sebagai asas kepemimpinannya, walaupun kos sosial dan ekonomi semakin meningkat dan China juga meningkatkan dasar pertahanannya minggu ini sebagai tanda tidak akan ada peralihan ke arah hidup dengan virus itu dalam masa terdekat.

Related posts

Leave a Comment