WHO keluar amaran cacar monyet

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengeluarkan amaran supaya orang ramai berjaga-jaga walaupun berlaku penurunan kes baharu cacar monyet dengan jumlah global kini mencecah 70,000 kes dengan 26 kematian.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, jumlah kes minggu lalu semakin meningkat di beberapa negara di Amerika dan kemunculan kes baharu yang perlahan di seluruh dunia, yang boleh menjadi masa ‘paling berbahaya’.

“Secara global, kes terus menurun, tetapi 21 negara pada minggu lalu melaporkan peningkatan kes, kebanyakannya di Amerika, yang menyumbang hampir 90 peratus daripada semua kes yang dilaporkan minggu lalu.

Kami bimbang mengenai laporan kes di Sudan, termasuk di kem pelarian berhampiran sempadan dengan Ethiopia,” katanya.

Beliau berkata, seperti Covid-19, cacar monyet yang menyebabkan demam, sakit otot dan lepuh kulit yang besar seperti bisul kekal sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan tahap antarabangsa.

Peningkatan jangkitan cacar monyet dilaporkan sejak awal Mei lalu dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, di luar negara Afrika di mana cacar monyet sudah lama menjadi penyakit endemik.

Lebih daripada 42,000 kes kini dilaporkan dari Amerika dan hampir 25,000 dari Eropah.

Sebanyak 107 negara anggota WHO melaporkan kes cacar monyet tahun ini, walaupun 39 daripadanya tidak mencatatkan kes baharu dalam tempoh 21 hari lalu.

Sepuluh negara mencatat jumlah kes tertinggi adalah Amerika Syarikat (26,723), Brazil (8,147), Sepanyol (7,209), Perancis (4,043), Britain (3,654), Jerman (3,640), Peru (2,587), Colombia (2,453), Mexico (1,968) dan Kanada (1,400).

Menurut WHO, negara-negara ini juga menyumbang hampir 87 peratus daripada kes global dan data menunjukkan, 97 peratus pesakit adalah lelaki, dengan purata umur 35 tahun, 90 peratus dikenal pasti sebagai lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki manakala 49 peratus lagi adalah positif HIV.

Related posts

Leave a Comment