KUALA LUMPUR 19 Jun – Sebarang aktiviti atau mesyuarat yang menggunakan nama Perikatan Nasional (PN) tidak boleh diadakan tanpa keizinan Pengerusi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, berkata ketetapan itu untuk memastikan segala aktiviti, urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832].
Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas diumumkan sebagai Pengerusi PN yang baharu pada 22 Februari lalu, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan 1 Januari lalu selepas mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020.
Dalam kenyataannya, Takiyuddin memaklumkan PN menerima maklum balas rasmi Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini berhubung urusan pentadbiran dan pengurusan parti mengenai perubahan yang berlaku pada jawatan Pengerusi PN itu.
Surat ROS mengesahkan penerimaan Minit Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi (MT) PN bertarikh 22 Februari 2026 dan mengambil maklum mengenai kelulusan MT terhadap peletakan jawatan Pengerusi PN dan pelantikan pengerusi yang baharu.
Katanya, ROS juga mengesahkan penerimaan salinan Minit Mesyuarat MT (Bil. 1 2026) bertarikh 14 Mac 2026 dan senarai kepimpinan serta pelantikan ahli jawatankuasa Majlis Tertinggi PN baharu, untuk direkodkan oleh pihak ROS.
“Sehubungan itu, PN kekal komited dalam memastikan segala aktiviti urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan mengikut perlembagaan parti serta mematuhi Akta 832,” katanya.
Terdahulu tular laporan mengatakan Muhyiddin akan mengadakan mesyuarat MT gabungan itu di ibu pejabat Bersatu malam ini di samping sebuah poster yang menggesa penyokong Bersatu hadir ke ibu pejabat parti itu dengan memakai baju biru PN sebagai tanda sokongan kepada Muhyiddin.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan itu.
Untuk rekod Mesyuarat MT PN pada 14 Mac turut melakukan beberapa perubahan jawatan dalam gabungan itu termasuk ‘menaikkan pangkat’ Takiyuddin, sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu menggantikan Mohamed Azmin.
Azmin yang sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN pada Januari lalu, ‘diturunkan pangkat’ sebagai Timbalan Setiausaha Agung PN manakala
Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan PN.
Bagi senarai Timbalan Pengerusi PN yang sebelum ini digalas oleh Presiden parti komponen pula, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik jawatan itu bagi menggantikan Abdul Hadi Awang.
Tiga lagi Timbalan Pengerusi PN ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin , Presiden Gerakan, Dr Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan.
Nnn
