SHAH ALAM 19 Jun- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh akan terus kekal bersama Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) walaupun bapanya, Noh Omar kembali menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Nurul Syazwani menegaskan keputusan bapanya itu sebagai hak peribadi dan wajar dihormati, tetapi ia tidak akan menjejaskan pendirian politiknya sebagai wakil rakyat PN dan beliau akan terus kekal dan teguh bersama Bersatu dan PN.
“Memang saya akur dan hormati keputusan abah (Noh) untuk kembali kepada UMNO.
“Sebab kita pun fahamlah dia pun orang cakap ahli politik yang sudah berpengalaman dan saya pasti tujuan dia ke sana demi misinya penyatuan Melayu insya-Allah,” katanya ketika ditemui semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas Selangor petang tadi.
Menurut Nurul Syazwani, beliau ada memberi pandangan secara terbuka memandangkan bapanya ketika itu tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam Bersatu.
“Saya tahu ke mana pun abah pergi, jiwa beliau memang jiwa UMNO dan sebahagian besar perjalanan politik dibina dalam parti berkenaan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau mungkin mengikut jejak bapanya itu menyertai UMNO, Nurul Syazwani menjelaskan beliau perlu amanah kerana itu mandat rakyat yang memilihnya.
“Bagi saya biarlah apa terjadi pun saya akan teguh membawa suara rakyat di Permatang dan juga di DUN ini.
“Apa yang berlaku hari ini mungkin tidak menggembirakan sesetengah penyokong PN, namun saya serahkan kepada pucuk pimpinan Bersatu dan takdir mengenai hala tuju politik selepas ini,” katanya.
Nnn
