Ahli MT UMNO letak jawatan Exco Kedah

SUNGAI PETANI 13 Okt. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Suraya Yaacob, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah yang berkuat kuasa serta merta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri mengumumkan peletakan jawatan itu menerusi satu kenyataan media selepas mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Suraya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Pendang bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa beliau bertindak sedemikian.

Pas yang menerajui kerajaan negeri melalui mesyuarat hari ini mengesahkan untuk tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri diterajuinya termasuk Kedah.

Pada masa yang sama, Pas juga memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutunya  dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Suraya merakamkan penghargaan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, atas perkenan melantik beliau ke jawatan berkenaan.

“Setinggi penghargaan juga kepada barisan rakan Exco serta kepimpinan kerajaan negeri, semua jabatan dan agensi kerajaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Darulaman (SADA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), badan bukan kerajaan (NGO), individu dan seluruh rakyat Kedah yang selama ini memberikan kerjasama erat bagi memastikan pelaksanaan dasar kerajaan negeri di bawah bidang portfolio saya dapat direalisasikan sebaik mungkin,” katanya.

Suraya berkata, beliau tidak akan melupakan segala cabaran dan pengalaman dalam membantu penyelarasan mempercepatkan projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) yang tertangguh akibat dihentikan kerajaan negeri terdahulu.

Projek itu menyaksikan Kedah menerima manfaat bernilai RM2.62 bilion atas penstrukturan semula industri air negeri Kedah, meliputi penghapusan hutang RM1.82 bilion dan selebihnya bagi kos membina dua buah LRA baharu di Sidam Kiri dan Kodiang.

“Antara pengalaman berharga saya pada penggal ini adalah membantu menyediakan sumber air tambahan buat rakyat negeri Kedah, membabitkan dua Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dibangunkan untuk kegunaan menakung air lebihan yang melimpah ruah ketika musim tengkujuh untuk kegunaan ketika musim kemarau.

“Paling mencabar, sudah tentu saya dan rakan bertungkus-lumus menghadapi cabaran bencana banjir kepala air di daerah Yan dan Baling, tragedi ban pecah di Sungai Santap dan krisis air pada kemarau 2021,” katanya.

Untuk rekod, Suraya menyandang kerusi DUN Sungai Tiang selama empat penggal sejak 2004

Related posts

Leave a Comment