SEPANG 17 Julai – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih anggota Perikatan Nasional (PN) yang sah dan tidak memilih untuk mufaraqah atau berpisah daripada gabungan yang diasaskan oleh parti itu, kata Presidennya Muhyiddin Yassin.
Beliau yang kesal dengan tohmahan Ketua Penerangan PN, Annuar Musa itu berhubung perkara itu turut menolak tuduhan kononnya Bersatu menghalang penyatuan Melayu.
“Bersatu tidak mufaraqah (berpisah) secara sukarela. Bersatu masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah.Tetapi hak-hak Bersatu sebagai parti anggota dan parti pengasas Perikatan Nasional telah dinafikan.
Rundingan kerusi pilihan raya dengan Bersatu tidak diteruskan. Malah ia sengaja dihentikan dengan alasan yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Annuar ketika mengulas keputusan Bersatu menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan mengesahkan rancangan parti itu menggerakkan platform politik lain selain PN.
Annuar berkata, tindakan Bersatu mengumumkan penggunaan logo sendiri bermaksud parti itu secara sukarela memilih untuk mufaraqah atau berpisah daripada PN.
Menerusi kenyataan itu, Muhyiddin menjelaskan Bersatu juga tidak dijemput menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang memuktamadkan pembahagian kerusi parti-parti anggota gabungan itu..
Mengenai rundingan dengan BN, Muhyiddin tidak mempersoalkan tindakan itu tetapi persoalannya ia melibatkan perkara dasar yang sepatutnya dibawa ke MT PN terlebih dahulu.
“Sebaliknya, rundingan dibuat tanpa melibatkan semua parti anggota dan tanpa mandat Majlis Tertinggi. Setelah keputusan mengenai kerjasama dibuat barulah dibawa ke Majlis Tertinggi. Ini cara yang songsang,” katanya.
Muhyiddin menjelaskan sepanjang lima tahun memimpin PN, beliau tidak pernah mengenepikan mana-mana parti anggota dalam proses membuat keputusan PN, termasuk hal-hal dasar parti dan pembahagian kerusi pilihan raya.
Katanya, sepanjang pimpinannya, mesyuarat dan rundingan melibatkan semua parti dan setiap keputusan dibuat secara teratur tetapi hari ini, segalanya telah berkecamuk.
Beliau juga menegaskan tuduhan Annuar kononnya Bersatu menghalang penyatuan Melayu adalah amat tidak bertanggungjawab sedangkan penubuhan Bersatu sebagai parti pribumi Melayu dan perjuangan untuk penyatuan Melayu tidak pernah padam.
Malah, pada peringkat awal penubuhan PN, beliau menggagaskan Perikatan Nasional sebagai parti induk yang menggabungkan parti-parti Melayu termasuk UMNO serta parti-parti pelbagai kaum yang lain.
“Namun, UMNO menolak untuk menyertai Perikatan Nasional. Malah UMNO tidak mahu menjadi sebahagian daripada parti dalam Kerajaan Perikatan Nasional. Hanya ahli-ahli Parlimen UMNO sahaja yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
Ahli-Ahli Parlimen UMNO kemudiannya berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang Melayu dan parti Melayu.
Hari ini mereka sedang melakukan perkara yang sama kepada Kerajaan Perpaduan yang mereka sendiri tubuhkan bersama-sama Pakatan Harapan,” katanya.
Muhyiddin mendakwa, disebabkan PN pimpinan Pas mahu mewujudkan gabungan dengan UMNO, yang masih mempunyai hubungan dengan PH termasuk DAP, Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu dan parti Melayu dipimpinnya itu diketepikan oleh PN..
“Ini bukanlah penyatuan Melayu yang sebenar. Ini hanyalah penjajaran semula kuasa politik,” katanya.
Beliau yang turut mengucapkan selamat maju jaya kepada PN menegaskan Bersatu tidak akan menoleh ke belakang lagi sebaliknya akan terus berdiri dan mara ke hadapan menjulang panji-panji perjuangannya demi Malaysia dan rakyatnya.
Nnnnnn
