SEPANG 17 Julai – Bagi memberi pilihan kepada pengundi Melayu, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Presidennya, Zamani Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan mengikuti perkembangan pengumuman calon oleh parti-parti yang bertanding serta mengambil kira hasil kajian dalaman.
Menurut beliau, kajian sebelum ini mendapati antara faktor yang menyumbang kepada peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan pengundi Melayu ialah ketiadaan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
“Berjasa hadir mendengar dan memahami isi hati serta hasrat pengundi Melayu Islam di Negeri Sembilan dalam suasana politik tanah air yang penuh cabaran hari ini,” katanya.
Setakat ini Arul Kumar Jambunathan akan mempertahankan kubunya, manakala BN meletakkan calon MCA iaitu Lai Chien Kong.
Pada pilihan raya sebelum ini, Arul Kumar daripada PH-DAP menang dengan majoriti 10,889 undi menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu Gan Chee Biow yang memperoleh 8,244 undi.
Zamani berkata, atas dasar prinsip dan bagi memeriahkan sistem demokrasi negara, Berjasa memutuskan untuk bertanding di DUN Nilai bagi menawarkan calon Muslim yang disifatkan berwibawa kepada pengundi.
Menurut Zamani, Nilai dipilih kerana menjadi antara kawasan permulaan yang sesuai untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.
Menurutnya, senario semasa yang menyaksikan semua calon parti lain yang diumumkan di Nilai bukan Melayu turut menjadi pertimbangan kepada keputusan tersebut.
Berjasa juga katanya kekal komited terhadap agenda penyatuan Melayu dan tidak akan meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu yang sudah mempunyai calon Melayu daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Wawasan.
Nnn
