28,000 bekas aiskrim RM1.4 juta dimusnah

BANGKOK: Walaupun belum disahkan sama ada mengandungi bahan penyebab kanser, kira-kira 28,000 bekas aiskrim Haagen-Dazs bernilai 12 juta baht (RM1.4 juta) dimusnahkan.

Timbalan Setiausaha Agung Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) Thailand, Weerachai Nolwachai berkata, beberapa negara Eropah sudah menarik balik aiskrim Haagen-Dazs daripada penjualan kelmarin.

Tindakan itu berikutan laporan bahawa ia mungkin tercemar dengan racun perosak, bagi produk bertarikh luput antara 16 Mac dan 23 April 2023.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) turut mengesahkan perkara tersebut.

Menurut Weerachai, seperti dilaporkan media tempatan, pemeriksaan FDA mendedahkan bahawa produk yang dirujuk dalam amaran berkenaan tidak diimport ke Thailand.

Bahan kimia membimbangkan itu adalah 2-chloroethanol, yang juga hasil sampingan etilena oksida, racun perosak yang tidak dibenarkan untuk digunakan dalam makanan yang dijual di Kesatuan Eropah (EU) tetapi dibenarkan di negara tertentu bukan EU.

Sejak 2020, kira-kira 3,000 penarikan balik produk di EU dilakukan, kebanyakannya disebabkan oleh keracunan etilena oksida.

Terdapat banyak lagi penarikan balik di luar EU, termasuk penarikan balik antarabangsa berprofil tinggi baru-baru ini bagi aiskrim Haagen-Dazs yang diedarkan di sekitar 80 negara.

Ketika itu, FDA Thailand menyatakan bahawa tiada satu pun produk yang dikaitkan dengan kanser itu memasuki negara terbabit.

Pada September 2020, etilena oksida dikesan dalam bijirin yang diimport ke EU dari India.

Pengimport tempatan Haagen-Dazs, Jagota Brothers Trading Co, yang dimiliki oleh pengeluar Amerika General Mills, turut menarik balik dan memusnahkan lebih banyak kumpulan produk sama.

Related posts

Leave a Comment