Mandat tamatkan label kerajaan tebuk atap

PUTRAJAYA – Pembubaran Dewan Rakyat pada hari ini adalah bagi membolehkan mandat dipulangkan kepada rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang stabil melalui Pilihan Raya Umum Ke-15.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu juga bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan Kerajaan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap.

“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat.

“Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan Kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15,” katanya dalam perutusan khas mengenai pembubaran Dewan Rakyat hari ini melalui media elektronik dan media sosial.

Ismail Sabri berkata, melalui pilihan raya, rakyat boleh menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023.

“Melalui pilihan raya itu juga, rakyat dapat mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.

Perdana Menteri mengimbau kembali bagaimana Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara.

“Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan Kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi,” katanya.

Begitupun, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa mereka ke meja rundingan, bagi meredakan keadaan.

“Kami mencari kebersamaan, bukan perbezaan. Kami mencari kesepakatan, bukan perpecahan,” katanya.

Di akhir ucapan, beliau dengan penuh keinsafan, pengharapan dan tawakal, mendoakan semoga seluruh Keluarga Malaysia dan negara sentiasa dipayungi rahmat, dilimpahi berkat.

“Semoga disuburkan hati kita untuk terus mendukung agenda besar pencapaian kemakmuran serta kemajuan Malaysia yang tercinta,” katanya.

Related posts

Leave a Comment