Tahniah Rais! Ahli lain bila lagi?

KUALA LUMPUR 10 Okt. – Presiden UMNO Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu,  Rais Hussin Mohamed Ariff yang mengumumkan keluar parti berkuat kuasa Jumaat lepas.

“Tahniah diucapkan kerana pandai membezakan parti mana yang relevan dan bakal menang menjelang pilihan raya umum,” katanya dalam kenyataan melalui media sosial hari ini.

Rais adalah antara pengasas bersama Bersatu dan bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu yang menghantar surat rasmi peletakan jawatannya kepada pimpinan Bersatu, Khamis lalu.

Menurut Ahmad Zahid, apabila Rais keluar Bersatu, sudah pasti pakar dan ahli strategis itu boleh membaca dan menjangka situasi politik semasa.

Beliau menyifatkan, tindakan Rais merupakan satu tamparan besar kepada Bersatu dan tentulah ada faktor yang besar yang menyebabkan beliau keluar dari parti Bersatu, ketika pilihan raya umum semakin hampir.

“Salah satu perkara yang dapat ditafsirkan ialah ketidakpercayaan kepada parti sendiri  yang dilihat bakal  tewas dan tak boleh diselamatkan lagi akibat tindak tanduk pemimpin parti itu sendiri yang tidak merakyat, tidak mempunyai akar umbi yang kuasa, jentera yang lemah, kepimpinan hanya pentingkan jawatan dan kedudukan, dan tidak ada agenda perjuangan yang jelas” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa, Bersatu hanya menguntungkan segelintir pemimpin dari segi jawatan Kabinet sedangkan ahlinya yang sedikit terus terbiar.

“Jika partinya masih relevan dan mempunyai masa depan yang cerah, maka perjuangan pasti diteruskan dan terus bersama parti, lebih-lebih lagi apabila parti mempunyai jawatan strategik dalam kerajaan termasuk Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) .

“Namun pakar strategis tersebut tetap dapat membaca secara tajam, meskipun Bersatu ada jawatan Menteri Kabinet kanan, menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan GLC, malah jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pun dilihat tidak ada impak terhadap negara dan parti.

“Sudah pasti situasi ini mudah dibaca oleh ahli strategis Bersatu. Manakala ahli Bersatu biasa tidaklah ada kesedaran ini, melainkan terus hanyut dengan mimpi dan kepercayaan bahawa parti itu boleh memang besar dan membentuk kerajaan selepas PRU15 ini,” katanya.

Ahmad Zahid turut melontarkan persoalan bilakah ahli-ahli Bersatu akan bertindak keluar daripada parti tersebut kerana sekiranya Bersatu tewas dalam pilihan raya umum kelak, adalah sudah terlambat untuk mereka berbuat demikian.

Menurut Ahmad Zahid , terdapat juga yang telah melompat parti masuk ke dalam UMNO secara terbuka mahupun senyap.

Ada juga ahli Bersatu yang mengaku kembali ke pangkuan UMNO walaupun tidak pernah diketahui UMNO bahagian dan ada yang mengaku kembali tetapi tidak menunjukkan disiplin dan taat kepada parti seperti sikap adu domba masih ada dan jika dibiarkan akan menjadi api dalam sekam.

Ahmad Zahid juga berkata, percubaan Bersatu sejak kepemimpinan Dr Mahathir Mohamad dan  Muhyiddin Yassin untuk menggantikan UMNO selepas pilihan raya jelas menemui kegagalan.

“Ahli UMNO sejati walaupun pernah tewas PRU14, cuba diaibkan dengan pendakwarayaan terpilih, cuba diugut dibubarkan parti UMNO tetap tidak goyang dalam mempertahankan UMNO.

“Malah sanggup mempertahankan UMNO dengan jiwa raga, walau pun ada yang menjauhi diri daripada parti, ada yang lompat parti dan ada juga menjadi musuh dalam selimut parti,” jelasnya.

Related posts

Leave a Comment