Omicron: Langkah ketat tanpa PKP

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Kerajaan tidak akan menggunakan semula pendekatan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran seperti sebelum ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein.

Kerajaan bagaimanapun tidak menolak untuk mengambil langkah lebih ketat ekoran penularan varian Omicron, termasuk menyekat pergerakan keluar dan masuk dari lebih banyak negara jika negara berkenaan didapati berisiko tinggi.

Mengambil kira pembentangan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini, setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia.

“Sebahagian besar kes jangkitan varian ini di negara kita masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara, “ katanya pada Sidang Media Khas Sempena Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 hari ini.

Hishammuddin menjelaskan, keputusan untuk tidak melaksanakan PKP secara besar-besaran dibuat merupakan sebahagian dari usaha bersiap sedia memasuki transisi ke fasa endemik.

Namun beliau memberitahu, pengumuman transisi ke fasa endemik itu tertangguh kerana kerajaan sedang memantau penularan varian Omicron dan banjir yang melanda beberapa buah negeri baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment