PBM tunggu ‘lampu hijau’ BN

SEGAMAT 10 Okt. – Parti Bangsa Malaysia (PBM) masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen gabungan itu, kata Presidennya,  Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, beliau sudah mendapat respons yang positif daripada Pengerusi BN, Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“Kita masih belum terima kenyataan rasmi lagi tetapi setakat ini PBM mendapat respons yang positif daripada pengerusi (BN) sendiri.

Cuma ada beberapa perkara lain yang harus diteliti yang mana mungkin selepas bubar (Parlimen) nanti, dia (Ahmad Zahid) akan beri kenyataan rasmi agaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan cek sumbangan infrastruktur tokong penganut agama Budha dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)  pada siri Jelajah Jom Reset Segamat di Kampung Abdullah, di sini.

Menurut Zuraida, PBM menyasarkan untuk mengekalkan enam kerusi yang disandang oleh Ahli Parlimen yang bersama parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“PRU ini kita tidak akan tambah (kerusi). Sekarang ini kita ada enam Ahli Parlimen dan semua ini akan kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment