DAP hormati keputusan bubar Parlimen

PETALING JAYA 10 Okt. – DAP menghormati keputusan pembubaran Parlimen yang telah dibuat mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan tetapi tetap dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk tidak membubarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung, Loke Siew Fook berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam esok (Selasa) untuk membincangkan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita telah berulang kali menyatakan pendirian bahawa pilihan raya umum tidak sesuai diadakan dalam tempoh terdekat memandangkan terdapat risiko banjir melanda, namun DAP menghormati keputusan yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seluruh jentera pilihan raya DAP akan diaktifkan serta merta untuk menghadapi kempen PRU15.

Katanya, seluruh pimpinan dan anggota parti akan dikerahkan untuk berkempen demi memenangi mandat rakyat untuk Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU15.

Pada masa yang sama DAP juga meminta kerajaan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan supaya terus fokus untuk bersiapsiaga menghadapi sebarang kemungkinan bencana berlaku.

Related posts

Leave a Comment