LONDON: Raja Britain Raja Charles III akan ditabalkan di Westminster Abbey London hari ini dalam upacara pertabalan penuh istiadat yang akan dikendalikan Uskup Agung Canterbury, Justin Welby.
Menurut laporan media, Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu akan dimahkotakan ke atas Charles oleh Welby yang akan diiringi laungan
“God Save the King”.
Untuk rekod, ini adalah pertabalan pertama Britain sejak 70 tahun dan diadakan selepas lapan bulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun.
Istiadat berkenaan menyaksikan operasi istiadat terbesar tentera sejak pertabalan Ratu Elizabeth pada 1953, yang disertai 9,000 anggota tentera manakala 7,000 daripadanya melaksanakan peranan istiadat dan sokongan.
Pada istiadat ini, kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selebriti, wira dan keluarga serta rakan pasangan itu, dengan Duke of Sussex dijangka hadir.
Malaysia diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Tetamu jemputan lain termasuk David dan Victoria Beckham, pemuzik Lionel Richie, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dan Wanita Pertama AS Jill Biden.
(Foto FB 10 UK PM)
