Tambun : Status Anwar diumum 26 Oktober

PARIT BUNTAR 9 Okt. – Sama ada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim, bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), akan diumumkan pada Konvensyen Nasional PH yang dijadualkan 29 Oktober ini di Perak.

Pengerusi PH Perak,  Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pihaknya sangat mengalu-alukan Anwar bertanding di Parlimen terbabit berikutan ketokohan Presiden PKR itu dilihat mampu memberi kelebihan dan nilai tambah kepada PH di negeri ini.

“Pencalonannya untuk bertanding di kerusi berkenaan akan memberi penghormatan besar kepada kami di Perak, malah ketokohan beliau akan menguntungkan PH negeri ini.

“Namun, sama ada Anwar bertanding di Parlimen Tambun atau tidak, ia hanya akan diumumkan pada konvensyen itu nanti,” katanya selepas menghadiri Himpunan Harapan Perak Bangkit di tapak pasar malam pekan Tanjung Piandang, malam tadi.

Turut hadir, Anwar Ibrahim; Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Sementara itu , Mujahid berkata, beliau difahamkan bahawa dirinya akan dikekalkan sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen Parit Buntar yang sedang disandang.

“Insya-Allah, yang saya tahu hingga jam 11.49 malam ini (malam tadi), begitulah adanya. Bagaimanapun, ia bawah kuasa peringkat parti masing-masing untuk menentukan kerusi mana yang kita akan bertanding,” katanya.

Related posts

Leave a Comment