Tutup masjid : MUIS minta jemaah prihatin

(Foto FB Masjid Yusof Ishak)

SINGAPURA 30 April – Masjid-masjid di Singapura akan meningkatkan tahap waspada dari segi pengurusan selamat dan juga pembasmian kuman memandangkan kegiatan-kegiatan semasa Ramadan semakin meningkat.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) berkata, Duta Khidmat Ramadan serta kakitangan dan sukarelawan masjid yang menjaga tempat masuk akan mempertingkat prosedur pengurusan selamat itu.

Dalam satu kenyataan MUIS melalui Facebooknya, para jemaah juga akan diperingatkan supaya mengurangkan pergerakan dalam masjid manakala

masjid-masjid akan menambah rejim pembersihan di zon solat selepas setiap sesi.

Langkah itu diambil berikutan dalam tempoh tiga hari,  enam buah masjid terpaksa ditutup sementara setelah dikunjungi individu-individu yang disahkan positif Covid-19.

Menurut MUIS, individu-individu itu tidak menunjukkan sebarang simptom atau tanda-tanda dijangkiti virus itu semasa mereka memasuki masjid-masjid berkenaan.

Masjid Petempatan Melayu Sembawang merupakan yang pertama dikesan dikunjungi kes Covid-19 pada Selasa (27 April ) dan semalam, 29 April  lima masjid lain – Masjid Abdul Hamid Kampung Pasiran, Masjid Hajjah Fatimah, Masjid Al-Falah, Masjid Yusof Ishak dan Masjid Al-Iman – juga ditutup untuk kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman setelah didapati dikunjungi individu yang positif virus itu.

Kes-kes yang berkunjung ke Masjid Yusof Ishak dan Al-Iman khususnya, melibatkan jemaah yang mendirikan solat Isyak dan Tarawih.

MUIS menyifatkan penutupan itu merupakan peringatan tentang pentingnya untuk terus berwaspada terhadap penularan Covid-19, sambil menarik perhatian kepada  pentingnya TraceTogether dalam menyokong usaha pengesanan kontak.

Pada masa yang sama MUIS mengingatkan para jemaah supaya  tidak mengunjungi masjid jika berasa tidak sedap badan malah membatalkan tempahan solat di masjid dengan segera sekiranya sakit.

Jemaah juga digalakkan untuk selalu ke masjid yang tetap, tidak bertukar masjid untuk solat mereka bagi mengurangkan risiko penularan ke beberapa masjid.

Mereka juga perlu sentiasa memakai pelitup, tidak berbual atau bergaul dengan sesama jemaah atau bersalaman, membawa peralatan ibadat sendiri, berwuduk sebelum datang ke masjid, dan daftar masuk Safe Entry dengan TraceTogether.

 

Related posts

Leave a Comment