Yusof masih Ketua UMNO Alor Setar?

ALOR SETAR 9 Okt. – Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Mohd Yusof Ismail, mendakwa bahawa Lembaga Disiplin UMNO bersetuju menangguhkan pelaksanaan hukuman penggantungan keahlian parti ke atas beliau.

Mohd Yusof berkata, penangguhan itu dibuat susulan rayuan dikemukakan UMNO Bahagian Alor Setar kepada ibu pejabat UMNO, baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, keputusan sama ada beliau dilepaskan daripada penggantungan selama enam tahun itu, akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO nanti.

Status saya ketika ini ialah UMNO Pusat menangguhkan keputusan penggantungan hinggalah mesyuarat MKT akan datang. Ini kerana untuk menggantung atau memecat ahli daripada parti, ia adalah bawah kuasa MKT.

“UMNO Bahagian Alor Setar membuat rayuan kepada UMNO Pusat dan ia dibincangkan. Susulan itu, Lembaga Disiplin membuat keputusan menangguhkan penggantungan. Maka, saya boleh aktif semula sebagai Ketua Bahagian.

“Keputusan penuh akan dibuat pada mesyuarat MKT nanti. Bila tarikh mesyuarat itu, saya tidak pasti tetapi biasanya ia diadakan sebulan sekali,” katanya seperti dilaporkan media ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku, di sini, malam tadi.

Mohd Yusof sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun yang dikaitkan dengan dakwaan beliau membuat kritikan terhadap Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam WhatsApp kumpulan ketua UMNO bahagian.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof memaklumkan hingga kini, beliau belum dipanggil untuk memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin UMNO, selain tiada dimaklumkan mengenai punca dan kesalahan sebenar dirinya sehingga digantung keahlian.

Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri,  Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi UMNO Kedah,  Jamil Khir Baharom; dan ahli MKT yang banyak membantu menyelesaikan isu berkenaan.

“Saya sebenarnya tidak tahu sebab apa digantung keahlian. Saya tidak pernah dipanggil Lembaga Disiplin dan tiada dinyatakan apa kesalahan pada parti. Tiba-tiba, saya digantung (keahlian).

“Saya beranggapan mungkin tulisan dan teguran saya dalam WhatsApp kumpulan ketua bahagian telah menjadi kesalahan tanpa saya sedari, maka saya diambil tindakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment