Surat 12 menteri PN tidak jejas PM

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Tindakan 12 anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN) menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini tidak menjejaskan kerajaan sekarang.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sokongan kepada seseorang Perdana Menteri adalah tertakluk pada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.

Justeru katanya,  tidak timbul isu keabsahan kerajaan tergugat disebabkan surat berkenaan, sebaliknya perkara itu hanya dibangkitkan pihak yang tidak memahami undang-undang hingga menimbulkan kekeliruan.

Beliau menjelaskan, dalam Perlembagaan, hilang sokongan adalah apabila ahli Dewan Rakyat menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri.

“Ramai yang tak faham Perlembagaan dan bila bercakap tak ikut Perlembagaan, itu yang orang jadi keliru.Sokongan itu adalah sokongan ahli Dewan Rakyat.

Kalau mereka tarik diri dan kurang daripada 112, majoriti mudah, kerajaan tumbang seperti yang berlaku pada Muhyiddin Yassin. Sebab itu (ketika itu) seluruh Kabinet terpaksa meletakkan jawatan.

“Tapi kalau sokongan pada ahli Dewan masih kekal, tak ada perubahan, tak ada isu mengatakan kerajaan tumbang,” katanya selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas dakwaan beberapa pihak mengatakan keabsahan kerajaan tergugat susulan surat daripada 12 anggota Kabinet PN kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini.

Perdana Menteri menegaskan beliau masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen, dan sebarang bantahan atau peletakan jawatan daripada mana-mana menteri tidak akan menjejaskan fungsi Kabinet atau kerajaan.

“Menteri Kabinet tak ada kuorum. Kalau menteri Kabinet letak jawatan sekali pun, Kabinet tetap berfungsi, kerajaan masih berfungsi. Kita lantik menteri baharu ganti menteri yang letak jawatan.

“Ini tak ada menteri yang letak jawatan, cuma tulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen tidak dibubarkan.

“Kuasa pembubaran Parlimen adalah pada Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong. Jadi tak ada kesan keabsahan kerajaan kerana Ahli Parlimen masih beri sokongan seperti biasa,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan berpandangan keabsahan kerajaan ketika ini semakin berkurangan dengan tindakan 12 menteri itu, yang dakwanya mengurangkan 40 peratus keabsahan kerajaan sedia ada.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet Bersatu dan Pas itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PN yang juga Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin pula menegaskan pendirian PN yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana kedua-duanya adalah isu berbeza.

Related posts

Leave a Comment