Raja Thailand berkongsi kesedihan

NA KLANG: “Tiada kata-kata yang dapat meluahkan kesedihan. Saya sentiasa menyokong dan berharap anda kuat, supaya semangat anak-anak dapat tenang,” titah Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn.

Baginda bertitah demikian ketika bertemu keluarga mangsa tragedi pembunuhan kanak-kanak yang mengorbankan 24 kanak-kanak dan 12 dewasa di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut Thailand, Khamis lalu.

“Saya datang ke sini untuk memberi sokongan. Saya amat sedih dengan apa yang sudah berlaku. Saya berkongsi kesedihan anda, kedukaan anda,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik dalam talian, hari ini.

Serangan membabitkan seorang bekas pegawai polis bersenjatakan senapang patah dan pisau selama tiga jam bermula pukul 12.30 tengah hari sebelum melarikan diri dengan menaiki kenderaan di wilayah Nong Bua Lam Phu.

Raja Maha Vajiralongkorn bertemu mangsa yang terselamat dan saudara mara di hospital sehari selepas insiden itu.

Ketika baginda menghulurkan bantuan dan ucapan takziah, keluarga yang bersedih berlutut di lantai hospital, mengikut adat Thai ketika berada di hadapan raja.

Baginda bersama Permaisuri Suthida, di sisinya, berkata akan berdoa untuk roh yang meninggal.

“Kita perlu melakukan yang terbaik, semampu kita,” katanya.

Lawatan diraja itu diadakan sehari selepas insiden di taska yang terletak di daerah Na Klang, kira-kira 500 km (300 batu) di utara Bangkok.

Ibu bapa yang bersedih meletakkan bunga ros putih di atas tangga taska, di mana nyawa anak-anak kecil dibunuh dengan kejam pada petang Khamis lalu oleh sarjan polis yang dipecat, Panya Khamrab.

Penyerang p itu bertindak masuk ke pusat jagaan kanak-kanak itu pada kira-kira pukul 12:30 tengah hari (0530 GMT) sebelum melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan melepaskan tembakan dari pistol 9mm miliknya dan menetak menggunakan pisau.

Lelaki berusia 34 tahun itu kemudian pulang ke rumah untuk membunuh isteri dan anak lelakinya sebelum membunuh diri.

Secara keseluruhan, dia membunuh 24 kanak-kanak iaitu 21 lelaki dan tiga perempuan dan 12 dewasa.

Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat cedera ditembak dan tikaman pisau.

Beberapa orang dalam komuniti rapat memberitahu suspek dikenali di kawasan itu sebagai penagih methamphetamine.

Related posts

Leave a Comment