Adakan PRU15 April, Mei atau Jun 2023

TANGKAK 8 Okt. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin berpendapat, bulan April dan Jun adalah tempoh terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Selepas banjir, bubar Parlimen antara bulan April, Mei atau Jun kan molek begitu, ada lagi masa,” katanya.

Justeru beliau meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, memberikan ketetapan berhubung tarikh PRU15 supaya semua pihak mendapat gambaran jelas sama ada PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat ataupun sebaliknya.

Pengerusi Bersatu itu berkata, Ismail Sabri juga tidak perlu mendengar nasihat daripada (lima) kepemimpinan tertinggi (Top 5 UMNO) yang mahukan PRU15 segera diadakan, kerana mereka bukan daripada kerajaan.

“Kerajaan perlu buat keputusan berkenaan dan PM perlu buat keputusan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, Gersik dekat sini, hari ini.

Mengenai Perdana Menteri yang menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Rabu lalu, beliau berkata tidak diketahui sama ada baginda memberi perkenan atau pun tidak untuk pembubaran parlimen.

“Apa pun yang terjadi, PN tetap kekal dengan pendirian untuk tidak mahu PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana ada perkara lebih penting dan diutamakan ketika ini.

“PRU perlu diadakan kerana sudah ditetapkan dalam Perlembagaan pada setiap lima tahun, tetapi penggal pilihan raya lalu masih belum tamat dan berbaki beberapa bulan lagi.

“Perkara kedua adalah soal banjir, semua pihak sudah tahu banjir akan berlaku setiap tahun dan situasi banjir kebelakangan ini amat buruk dengan jumlah banyak kerosakan harta benda dan mangsa yang terkorban. Takkan kita nak abaikan perkara itu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment