Pas belum muktamadkan keputusan

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Pas Pusat belum memuktamadkan pendirian sama ada kekal bersama Perikatan Nasional (PN) atau bersama Barisan Nasional (BN) sebaliknya memutuskan untuk meneruskan usaha penyatuan ummah, membabitkan ketiga-tiga parti teras Melayu, termasuk UMNO (BN) dan Bersatu (PN).

Keputusan itu dibuat Pas selepas selesai mesyuarat Ahli Jawatankuasa parti itu di ibu negara hari ini yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Dalam kenyataan hari ini, Pas tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan ‘komitmen’ ketiga-tiga parti teras-Melayu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15  (PRU15) seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca-PRU15.

“Pas berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,” kata Abdul Hadi.

Pada masa yang sama, Pas yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan  tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

Langkah itu bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19.

Related posts

Leave a Comment