Bukan bermakna 12 menteri tarik sokongan

SUBANG JAYA 7 Okt. – Tindakan 12 anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN) yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PN,  Hamzah Zainudin, berkata isu sokongan kepada Perdana Menteri adalah perkara berbeza berbanding pendirian PN berhubung pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Itu (menarik sokongan kepada Perdana Menteri) bab lain. Ini bab pilihan raya,” katanya ringkas ketika ditemui selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di sini, semalam.

Beliau ditanya sama ada surat daripada 12 anggota Kabinet PN kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini, bererti PN menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet Bersatu dan Pas itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

Jika benar tafsiran itu, Asyraf Wajdi berpandangan Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen atau meletak jawatan.

Ia berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan jemaah Menteri, melainkan jika Yang di-Pertuan Agong meminta Parlimen dibubarkan.

Mengulas mengenai surat berkenaan, Hamzah memaklumkan, pendirian itu dibuat berdasarkan konsensus dalam kalangan parti komponen PN yang tidak bersetuju PRU-15 dilaksanakan ketika musim tengkujuh dan risiko banjir besar.

“Kami menteri-menteri terima arahan untuk tidak mahu diadakan PRU pada masa terdekat kerana kita mengikut keputusan parti,” katanya.

Related posts

Leave a Comment