Zahid minta pengundi Cina terus sokong PH

JOHOR BAHRU 3 Sept. –  Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi Cina di Parlimen Pulai menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, sebagaimana mereka menyokong Allahyarham Salahuddin Ayub sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri itu, berkata Suhaizan adalah calon tepat yang boleh menggalas tugas sebagai wakil rakyat bagi penduduk di Parlimen Pulai.

Katanya, Suhaizan yang juga Setiausaha Politik kepada Salahuddin sebelum ini telah biasa berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu bagi pihak Allahyarham ketika Salahuddin menjalankan tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di luar kawasan.

“Saya tahu sokongan orang Cina kepada Allahyarham cukup besar dan kuat. Saya mahu kali ini Suhaizan juga mendapat sokongan pengundi Cina di Pulai.

“Dulu dia lawan BN, BN lawan dia, dulu lawan tetap lawan, sekarang lawan sudah jadi kawan, buat apa kita lawan? Sekarang kita Kerajaan Perpaduan.

“Orang Melayu, Cina, India serta Sabah dan Sarawak, beliau akan tolong. Saya beritahu dia tolong semua bangsa kerana kita ‘buta warna’. Kalau tidak cukup peruntukan, boleh minta bantuan saya,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Pertubuhan Penganut Kuan Yin Taman Perling di Tokong Guan Yin, di sini, malam ini.

Parlimen Pulai mempunyai sejumlah 166,653 pemilih berdaftar dan 40.46 peratus atau 67,434 orang adalah pengundi Cina.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu  turut mengumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meluluskan peruntukan awal sebanyak RM500,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Poay Chai, di sini.

Katanya, Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor, sebelum ini ada memohon peruntukan sebanyak RM4 juta bagi tujuan pembinaan bangunan tambahan di sekolah itu.

“Chin Tong beritahu beliau sudah minta supaya pengundi Cina di Pulai mesti turun sekurang-kurang 70 peratus pada 9 September ini (hari mengundi). Ini bukan kempen untuk BN. Sekarang kita kawan, kita mahu Kerajaan Perpaduan di Johor dan Putrajaya, kerajaan terkuat di Malaysia,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan terus menyokong PH bagi memastikan kerajaan terus stabil daripada segi ekonomi, pendidikan dan peluang pekerjaan yang baik.

Pilihan Raya Kecil bagi Parlimen Pulai bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara Suhaizan, calon Perikatan Nasional Zulkifli Jaafar dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Related posts

Leave a Comment