Pas ada pelan kedua jika tak berjaya

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Beberapa hari sebelum memuktamadkan pendirian sama ada Pas memilih PN atau BN, parti itu menyatakan memiliki pelan kedua sekiranya penyatuan ummah bersama UMNO yang sedang diusahakan tidak berjaya.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu tidak sesekali ‘undur’ untuk menjayakan agenda terbabit.

Katanya, Pas mengalu-alukan kesediaan UMNO ke arah penyatuan ummah tetapi dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu Pas teliti terlebih dahulu.

“Ada beberapa isu kecil sahaja yang kita boleh usahakan. Kalau berjaya kita teruskan dan kalau tak berjaya, kita ada pelan kedua,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

UMNO sebelum ini menetapkan tiga syarat utama yang mesti dipenuhi Pas, sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tiga syarat utama itu, ialah keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu ).

Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.

Tuan Ibrahim berkata, isu sekarang bukan mengenai Pas bermain ‘dua kolam’ atau lebih kerana ia bukan hanya membabitkan kepentingan politik, sebaliknya membabitkan semua perkara.

“Sebab itu bagi kita bukan hanya Pas dan UMNO, kalau dua kolam hanya Pas dan UMNO sahaja. Penyatuan ummah ini gagasan besar.

“Walaupun tiada mesyuarat rasmi, MN (Muafakat Nasional) ini tiada pihak yang nak bubar sebab bagi saya ia adalah platform untuk kepentingan bukan hanya untuk politik tetapi juga kepentingan masyarakat.

“Kalau kita lihat dalam ayat al-Quran, kalau dua kumpulan umat Islam bertelagah, maka kamu damaikan mereka. Kalau nak kira sensitif rasa hati, Pas lebih rasa hati dengan UMNO, 60 tahun berbanding dengan Bersatu malah Bersatu pun sebahagiannya adalah pemimpin UMNO dahulu,” katanya.

Related posts

Leave a Comment