Bersatu optimis Pas kekal bersama PN

GOMBAK 5 Okt. – Bersatu optimis Pas akan terus bersama Perikatan Nasional (PN) dalam memperkukuhkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden,  Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata setakat ini, Pas menunjukkan komitmen untuk bergerak bersama PN dalam satu pasukan.

“Secara umumnya, kita lihat Pas begitu komited untuk bergerak bersama PN. Kita lihat kerjasama (ditunjukkan) cukup baik, malah (PN) telah lancarkan jentera pilihan raya di beberapa buah negeri dan akan terus melaksanakannya dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, di sini, hari ini.

Radzi diminta mengulas kemungkinan Pas akan memilih bekerjasama dengan UMNO pada PRU15 susulan UMNO memberi kata dua bagi memuktamadkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).

Syarat dinyatakan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk Pas perlu keluar daripada gabungan PN, memutuskan hubungan politik dengan Bersatu serta mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.

Ketika diminta mengulas pandangan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan parti itu ibarat ‘hilang taring’, Radzi menyuarakan keyakinan Bersatu menerusi kerjasama dalam PN masih mampu menyaingi parti lain pada PRU15 nanti.

“Melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai contoh, PRN Melaka dan Johor, jelas Bersatu mendapat tempat.

“Bagaimana sebuah parti baharu, yang baru menyambut ulang tahun keenam, namun (mampu) menjadi pencabar terdekat dalam politik negara, dalam tempoh singkat… khususnya dalam konteks PN,” katanya.

Ditanya pandangannya selaku Menteri Kanan Pendidikan berhubung pendirian UMNO supaya PRU15 diadakan tahun ini, Radzi berkata perkara itu jelas menunjukkan parti itu tidak mendahulukan kebajikan rakyat.

“Dalam konteks kita (Kementerian Pendidikan) penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (banjir) ini adalah satu kebiasaan, itu telah digunakan sekian lama dan kita telah menyenaraikan sekolah yang memang telah digunakan untuk dijadikan pusat pemindahan sementara.

“Pada masa sama, sekolah juga digunakan sebagai pusat mengundi. Sebab itu saya kata, seolah tak ada masa lain nak lakukan pilihan raya. Kenapa beria nak buat sekarang.

“Ini adalah perangai UMNO. Mereka nak tunjukkan mereka kuat, parti paling teguh, mereka lupa yang paling kuat bila datang pilihan raya adalah rakyat yang mempunyai kuasa mengundi,” katanya.

Related posts

Leave a Comment