Pas tentukan Sabtu ini BN atau PN

PUTRAJAYA 5 Okt. – Pas akan memutuskan Sabtu ini sama ada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) sebagaj rakan ta’awun (kerjasama) parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden, Idris Ahmad, berkata mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat pada hari berkenaan akan diadakan di ibu negara.

Selain memutuskan pilihan Pas, mesyuarat juga antara lain akan turut membincangkan bagi mengambil ketetapan sama ada membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri ditadbir parti itu.

“Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan akan keluarkan kenyataan rasmi berhubung dua perkara ini dan difahamkan akan dikeluarkan pada hujung minggu,” katanya kepada pemberita pada Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-6 2O22 di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) di sini hari ini.

Sebelum ini Jawatankuasa Kerja Pas Pusat memutuskan tidak akan membubarkan tiga DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Ditanya pemberita kecenderungan Pas memilih parti mana untuk bekerjasama, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Pas kekal dengan pendirian mahu bekerjasama dengan PN dan UMNO/BN.

“Kita mahu kedua-duanya,” katanya.

Mengulas sama ada beliau akan bertanding pada PRU15, Idris berkata, perkara itu akan diputuskan pimpinan parti.

“Saya bertanding pun ok, tak bertanding pun takpe. Apapun, tunggu hari kejadian,” katanya.

Setakat ini Pas belum memutuskan rakan kerjasama mereka pada PRU15 sama ada PN atau BN walaupun gerak kerja PRU terus dipertingkatkan bersama PN.

Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam menegaskan Pas perlu segera menyatakan pendirian sama ada memilih BN atau PN.

Related posts

Leave a Comment