Penjara tolak permohonan Najib

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Peguam Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan Jabatan Penjara menolak permohonan bekas Perdana Menteri,  Najib Razak untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat minggu ini.

Muhammad Shafee berkata, Jabatan Penjara menolak permohonan anak guamnya yang dibuat pihaknya pada 19 September lalu kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara.

“Mereka membalas permohonan itu dan tidak benarkan atas alasan keselamatan, … saya rasa sangat pelik kerana sebenarnya Parlimen lagi selamat daripada mahkamah kerana di mahkamah beliau terdedah kepada orang awam.

“Oleh kerana permohonan ditolak, kami membuat rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, dan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun,” katanya selepas prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini.

Muhammad Shafee berkata, Najib masih lagi seorang Ahli Parlimen dan sepatutnya diberikan hak untuk hadir pada sidang parlimen yang turut akan mendengar pembentangan Bajet 2023 Jumaat ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga katanya, patut diberikan hak untuk berjumpa rakyat di kawasannya.

Pagi ini di Dewan Rakyat, Azhar Azizan berkata Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun ketika ini, boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat jika mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara.

Related posts

Leave a Comment