Menghendap kesalahan jenayah

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Dewan Rakyat, meluluskan sebulat suara pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah, yang menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 diluluskan selepas dibahas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang),  Mas Ermieyati Samsudin membentangkan kedua-dua RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 membabitkan peruntukan berhubung kesalahan menghendap atau stalking, manakala RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No. 2) 2022 membabitkan peruntukan perlindungan kepada mangsa berhubung perlakuan kesalahan berkenaan.

Mas Ermieyati memaklumkan, melalui pindaan Kanun Keseksaan, kesalahan menghendap bukan saja terhad kepada secara fizikal, tetapi turut membabitkan kelakuan menghendap secara maya melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram, dalam usaha menangani kesalahan itu secara menyeluruh.

“Pindaan ini dilihat sebagai suatu mekanisme yang mampu memberi impak tinggi apabila pihak berkuasa bukan saja dapat menghalang perlakuan mengganggu dan menghendap, malah dapat menyelamatkan nyawa.

“Ini secara tidak langsung berpotensi untuk memberi keyakinan kepada orang ramai terhadap langkah kerajaan dalam menangani isu perlakuan mengganggu dan menghendap ini,” katanya.

Beliau memberitahu, pindaan ke atas Kanun Tatacara Jenayah akan memberikan perlindungan undang-undang kepada mangsa jenayah menghendap melalui perintah perlindungan yang dikeluarkan pihak mahkamah.

Pindaan ini katanya juga diwujudkan berdasarkan falsafah untuk membendung jenayah menghendap dan pada masa sama, akan dapat mengurangkan kebimbangan, ketakutan dan trauma kepada mangsa.

Menurut Mas Ermieyati, ketika ini, undang-undang sedia ada hanya melindungi mangsa kepada perlakuan mengganggu dan menghendap yang terjadi kepada pasangan yang pernah mempunyai hubungan perkahwinan yang sah atau sudah bercerai.

Bagaimanapun, bagi perlakuan yang membabitkan pihak yang tidak pernah mempunyai perhubungan perkahwinan yang sah, tiada undang-undang khusus dan jelas yang diperuntukkan kepada mangsa.

“Tujuan utama peruntukan ini adalah bagi memberi perlindungan yang mencukupi kepada mangsa terhadap perlakuan menghendap.

“Aspek perlindungan ini adalah untuk menjamin suatu persekitaran yang selamat bagi mangsa perlakuan mengganggu dan menghendap semasa kes disiasat pihak berwajib, ketika tempoh prosiding berjalan sehingga kes selesai dan pelaku dijatuhkan hukuman,” katanya.

Related posts

Leave a Comment