SEPANG 14 Nov. – Keputusan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16 membawa mesej yang cukup bermakna, khususnya terhadap keyakinan rakyat kepada usaha penyatuan ummah.
Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, berkata keputusan itu juga mencerminkan harapan pengundi untuk melihat pentadbiran yang adil, berkebajikan serta mampu memelihara keharmonian masyarakat majmuk di negeri berkenaan.
Beliau menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran dan merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka atas mandat serta kepercayaan yang diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
“Pas menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. Keutamaan Pas untuk mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh kepemimpinan PN dan BN, calon, petugas serta jentera parti yang menunjukkan kesungguhan, pengorbanan dan semangat kebersamaan sepanjang menghadapi pilihan raya ini.
“Semoga Allah SWT memberkati kemenangan ini, memandu setiap langkah kepimpinan yang diberikan amanah serta mengurniakan kekuatan untuk berkhidmat dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, di MELAKA Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, berkata kekuatan
perpaduan, kesatuan dan pengorbanan jentera di peringkat akar umbi menjadi antara faktor kejayaan kerjasama PN dan BN pada PRU DUN Melaka ke-16.
Katanya, kekuatan itu membolehkan gabungan berkenaan menghadapi kelebihan pihak lawan.
“Kekuatan sebenar bukan hanya terletak pada sumber kewangan atau penguasaan media, sebaliknya perpaduan, kesatuan fikrah dan kesatuan amal yang diterjemahkan melalui peti undi.
“Apabila ada kekuatan ini, datanglah macam mana sekalipun tsunami, maka dengan izin Allah kita mampu untuk nak tawan.
“Ini terbukti dalam pilihan raya di negeri Melaka pada kali ini,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan tidak rasmi PRN Melaka ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Idris berkata, kejayaan di Melaka perlu dijadikan asas untuk memperkukuh kerjasama politik sehingga ke peringkat nasional sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Insya-Allah kita akan kukuhkan lagi. Ia bermula bertunas di Johor, kemudian berputik di Negeri Sembilan, hari ini berbuah dan insya-Allah rendangnya pula di Putrajaya nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di Melaka, khususnya golongan muda yang pertama kali berpeluang mengundi menerusi pelaksanaan Undi18.
Katanya, golongan muda terbukti berpotensi menjadi ejen perubahan dan antara faktor penting yang mampu mempengaruhi landskap politik negara pada masa hadapan.
“Kali ini memang terbukti bahawasanya anak muda mereka adalah ejen perubahan, mereka adalah satu faktor pengubah, mereka adakah satu daripada yang boleh menjadikan satu perubahan politik di peringkat nasional nanti.
“Dan kita harapkan ianya akan dapat memberikan kebaikan yang berterusan untuk ke arah pilihan raya umum akan nanti,” katanya.
