Polis rakam keterangan Kit Siang Rabu

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Polis akan merakam keterangan veteran DAP,  Lim Kit Siang, Rabu ini berhubung kenyataannya baru-baru ini yang didakwa menyentuh kemungkinan orang bukan Melayu sebagai perdana menteri.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Rusdi Mohd Isa, dalam kenyataan hari ini mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap Kit Siang.

Katanya, siasatan dijalankan berhubung kandungan penulisan beliau yang dimuat naik dalam blog limkitsiang.com pada 30 November 2023 yang menyentuh isu Perlembagaan berhubung pelantikan Perdana Menteri Malaysia.

Kenyataan berkaitan Impian Malaysia itu dibuat ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester, akhir bulan lalu.

“Penulisan yang disiasat bertajuk ‘Malaysian Constitution Provides For a Malaysian Dream And Not a Mono-Ethnic Dream As It Provides That a Non-Malay Can Be a Prime Minister’ (Perlembagaan Malaysia menjanjikan impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal kerana Perlembagaan tidak menghalang seorang bukan Melayu dari menjadi Perdana Menteri),” katanya.

Rusdi berkata, proses merakam percakapan bekas Penasihat DAP itu akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman.

Katanya, proses dijalankan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa prihatin terhadap isu sensitif dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment