MN: Pas putuskan sebelum hujung minggu

KUALA LUMPUR: Pas menyambut baik usaha memulihkan Muafakat Nasional (MN) dan akan mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dan akan membuat keputusan muktamad mengenainya sebelum hujung minggu ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu akan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudhorat (risiko) yang lebih ringan.

“Pas menyambut baik kenyataan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) semalam yang menzahirkan keterbukaan UMNO dan Pas memulihkan agenda penyatuan ummah berikutan pertemuan empat mata dua Presiden UMNO dan Pas pada 17 September lalu,” katanya.

Beliau juga mengulangi komitmen Pas untuk bersama dalam segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya dalam kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam berteraskan Ayat 10 Surah al-Hujurat yang menekankan soal ‘perdamaian’ di antara orang-orang Islam yang bertelagah dalam sesuatu urusan mereka.

Dalam hal ini, beliau berkata Pas turut menekankan soal penyelesaian sesuatu perkara perlu dirujuk kepada sumber Agama Islam iaitu al-Quran dan al-Hadith.

“Sesungguhnya perkara di atas juga terkandung secara jelas dan tersurat di dalam Piagam MN yang sudah dimeterai pada 14 September 2019,” katanya.

Takiyuddin juga menegaskan bahawa Pas tetap mengharapkan suatu jalinan penyatuan ummah yang sejati dapat direalisasikan di antara parti utama Melayu dan Islam di negara ini, dengan mengambil roh dan semangat persaudaraan Islam seperti yang ditunjukkan dalam sirah iaitu antara Aus-Khawraj dan Muhajirin- Ansar yang akhirnya membawa kepada kekuatan dan kegemilangan pemerintahan berteraskan Islam.

Semalam Ahmad Zahid melalui kenyataannya memaklumkan UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi teras MN dan asas kepada kestabilan politik tanah air.

Katanya,  sebarang usaha memulihkan MN atau apa jua bentuk permuafakatan dan kerjasama perlulah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal sebagaimana yang pernah dimeterai dan disepakati.

Related posts

Leave a Comment