UMNO tidak hormat perlembagaan

PETALING JAYA 1 Okt. – Angkuh dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan. Itu reaksi DAP berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menetapkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata keputusan itu juga membelakangkan kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran Parlimen.

Katanya, berdasarkan kenyataan malam tadi, pembubaran Parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihan raya diadakan tahun ini juga seolah-olah prasyarat ditetapkan oleh MKT UMNO terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kenyataan terbuka berkenaan pembubaran Parlimen dikeluarkan sebelum Perdana Menteri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai penderhakaan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, UMNO juga perlu diingatkan bahawa parti itu hanya mempunyai 38 Ahli Dewan Rakyat daripada 222 orang atau hanya 17 peratus yang membentuk Parlimen Malaysia.

“UMNO tidak boleh dibenarkan untuk bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih parti majoriti terbesar di Parlimen pada hari ini.

DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam soal membubarkan Parlimen selaras dengan prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP menaruh kepercayaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan baginda untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Siew Foke berkata, menurutnya Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut;

Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Katanya Perkara 40(2)(b) amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Related posts

Leave a Comment