Jika kalah tahun ini, teruk kita – Ku Li

GUA MUSANG 1 Okt. – Mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) secepat mungkin tanpa persediaan secukupnya ibarat menempah maut, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau mengingatkan, parti akan kalah teruk sekiranya tiada persediaan menghadapi PRU15.

“Kalau kita tak bersedia, kita seolah-olah nak cari maut. Jadi kita tak mahu menghadapi pilihan raya kalah dan jika kalah tahun ini, teruk kita.

“Kita tak mahu berlaku begitu pada parti kita. Ini parti harapan orang Melayu… apatah lagi orang Melayu sudah berpecah belah dengan banyak, jadi mana kekuatan kita,” katanya selepas merasmikan Malam Apresiasi Seni Budaya Kesedar 2022, di sini, malam tadi.

Tengku Razaleigh mengulas keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menetapkan PRU15 perlu diadakan tahun ini juga walaupun pelbagai pihak menyifatkan tidak wajar diadakan pada musim tengkujuh atau banjir.

Beliau berkata, keputusan mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh perlu dibuat secara logik akal kerana boleh mengancam negara dan rakyat.

“Keputusan (PRU15) seumpama ini saya rasa kita kena bertindak dengan logik dan dengan asas yang kuat, tak boleh kita ikut nafsu semata-mata.

“Kita sendiri nak lari, nak selamatkan diri, macam mana nak adakan pilihan raya. Kita pun minta rakyat selamatkan diri, masa mana rakyat nak berfikir soal undi kalau rakyat terpaksa cari tempat tinggi, tempat selamat dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga menegaskan tindakan mencalonkan pemimpin yang terbabit dengan kes mahkamah adalah tidak wajar kerana boleh menjejaskan imej parti.

“Itu boleh menunjukkan ahli tidak sayangkan parti, malah masih ramai muka baharu yang boleh diketengahkan.

“Saya tiada kuasa nak menentu tetapi kalau kita pandang dari segi umumnya tak layak. Tak elok, itu menunjukkan kita tak sayang kepada parti.

“Kehadiran kita mungkin menjejas imej parti itu sendiri, jadi bahan ketawa orang, bahan percakapan orang, saya rasa kita ada ramai orang yang boleh dikemukakan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment