Zaharin dipecat kali ketiga…terima kasih

KUALA LUMPUR 1 Okt – Blogger, Zaharin Mohd Yasin, yang disingkirkan daripada UMNO menerima pemecatan dengan hati terbuka, dan berterima kasih tetapi mengingatkan bahawa mulut dan tangannya tidak akan berhenti membongkar ‘kemungkaran politik’ yang didakwanya dilakukan Presiden UMNO.

Ketua UMNO Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan itu yang pernah menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, berkata, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu tidak memberi kesan terhadapnya yang sebelum ini sudah dua kali dipecat.

Zaharin pernah dipecat daripada UMNO pada 1996 ketika Anwar Ibrahim menjadi pemangku presiden parti dan diterima balik pada 1998 dan kali kedua pada 2006 ketika UMNO diterajui Abdullah Ahmad Badawi sebelum diterima semula pada 2009.

Malam tadi, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan memecat keahlian Zaharin daripada parti berkuat kuasa serta-merta, mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9.

Tindakan itu yang diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan, diambil selepas ketua UMNO cawangan itu didapati melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO

Dikenali dengan nama Sang Kelembai, Zaharij menegaskan pemecatan itu akan menaikkan semangatnya untuk terus mengajak rakyat berbilang kaum menolak Barisan Nasional (BN) dan UMNO di bawah pimpinan Ahmad Zahid.

Beliau menjelaskan demikian dalam satu kenyataan secara langsung melalui Facebooknya malam tadi dan disusuli kenyataan media hari ini.

Menurut Zaharin,  beliau tidak pernah menerima sebarang surat tunjuk sebab atau dihadapkan di hadapan Lembaga Disiplin UMNO sebelum pemecatannya.

“Dari segi bidang kuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, perkataan pecat tidak tepat kerana saya tidak menerima sebarang tunjuk sebab dan juga dihadapkan ke Lembaga Disiplin.

Malah UMNO bahagian saya di Parlimen Bandar Tun Razak tidak pernah membuat keputusan dan cadangan aduan rasmi ke Pejabat Setiausaha Agung untuk saya diambil tindakan disiplin,” katanya.

Justeru Zaharin menyifatkan keputusan pemecatannya lebih kepada tindakan peribadi Ahmad Zahid dan penyokong Presiden UMNO itu yang dianggapnya sebagai keputusan ‘mi segera’.

“Apakah tujuan (pecat)? Hendak menutup mulut dan mematikan tangan saya dari menulis kemungkaran politik oleh presiden.

“Jawabnya tidak. Mulut dan tangan saya tidak akan terhenti kerana tersingkir sebagai Ahli UMNO. Malah menaikan semangat saya terus mengajak rakyat Malaysia berbilang kaum menolak BN/UMNO di bawah kepemimpian seorang perompak, penyamun dan pencuri wang rakyat..

Seperti dua pemecatan sebelum ini, beliau juga memaklumkan tidak akan membuat rayuan ke atas keputusan itu.

“Saya tidak akan merayu, sebaliknya saya berterima kasih kepada Ahli MKT UMNO kerana menyingkirkan saya sebagai ahli UMNO. Ia (memberikan) saya kemerdekaan menulis dan memberi pendapat.

“Setelah 52 tahun menyokong UMNO. Sebagai orang ditanam perkaderan kiri, saya tahu dan sedar bahawa UMNO sebuah parti yang mempertahankan sistem kapitalis, dikuasai elit politik dan bangsawan, sistem yang selama ini saya pertahankan.

“Kini saya tidak menjadi ahli parti itu, maka saya tidak lagi berminat berjuang atas landasan kanan. Maka pilihan saya dalam mencari wadah perjuangan di masa depan jika mahu menyumbang perjuangan rakyat terbanyak, akan memilih parti yang berwadah kiri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment