Rentas negeri bermula 11 Oktober

PUTRAJAYA 10 Okt. –  Keluarga Malaysia yang sudah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok tanpa memerlukan kebenaran polis, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Alhamdulillah, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.,” katanya.

Serentak itu, Keluarga Malaysia dibenarkan untuk melakukan aktiviti pelancongan ke mana-mana negeri, selain bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang sudah lama berpisah dan sebagainya.

“Inilah sebenarnya yang ditunggu-tunggukan masyarakat seperti saya sebutkan di peringkat awal tadi, kita terpaksa tegas dari segi soal rentas negeri ini. Seperti dijanjikan, mulai esok bolehlah rakyat Malaysia melakukan pergerakan rentas negeri.

“Saya percaya ramai tunggu pengumuman ini kerana terlalu ramai yang sudah terlalu rindu untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa, keluarga dan sebagainya. Jadi Keluarga Malaysia sudah bebas lakukan perjalanan pulang ke kampung.

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Keluarga Malaysia atas kerjasama diberikan selama ini dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan menyokong kempen imunisasi Covid-19,” katanya.

Mengumumkan kebenaran itu pada sidang media hari ini, beliau juga menasihatkan , Keluarga Malaysia agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.

“Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi dan persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau #ReopeningSafely.

“Jika hal ini diambil mudah, tidak mustahil penularan wabak COVID-19 ini akan kembali meningkat. Anda kini adalah barisan hadapan yang akan melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID-19,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan kanak-kanak yang belum divaksin juga dibenarkan untuk menikmati kelonggaran rentas negeri walaupun belum menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata, ia selepas mengambil kira faktor kanak-kanak masih tidak boleh diberi pelalian berkenaan.

Selain itu, katanya, tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dikeluarkan bagi kelonggaran berkenaan bagi negeri yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.

Related posts

Leave a Comment