UMNO mahu PRU15 tahun ini juga

KUALA LUMPUR 30 Sept. – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Ini berikutan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini, memutuskan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan pada tahun ini juga.

“Keputusan ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan kerana persengketan dalaman politik sesama mereka,” katanya pada sidang media malam ini.

Mesyuarat MKT malam ini dipengerusikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad berkata, sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat diarah untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada PRU.

Menurut kenyataan media yang dibacakan, UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat akan membolehkan mandat sebenar diperoleh.

Ini bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.

Mesyuarat juga menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

MKT juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” untuk segera didedahkan kepada umum.

“Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang-undang negara, seperti contoh yang terdapat di dalam muka surat 342 buku tersebut yang berkemungkinan melanggar Seksyen 32 Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009,” katanya.

Perkara lain yang diputuskan adalah

– UMNO menjunjung titah Sultan Johor pada 15 Mei 2022 lalu, yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan soal maruah dan kedaulatan negara.

– Mesyuarat MKT menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan merakamkan ucapan terima kasih atas khidmat yang telah beliau berikan. Sebagai penggantinya, mesyuarat bersetuju untuk melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baru.

– Mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

Mesyuarat MKT juga mengambil maklum berkenaan kunjungan YB Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi bin Awang, Presiden Pas bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini.

Related posts

Leave a Comment