PRU: Setuju tempoh bubar ditetapkan

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) wajar dapat ditentukan lebih awal dengan penetapan secara automatik selepas genap mandat lima tahun, kata Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau secara peribadi bersetuju penetapan tempoh pilihan raya satu penggal itu supaya semua pihak termasuk parti politik tidak tertanya-tanya setiap hari untuk tarikh mengembalikan semula kepada rakyat memilih kerajaan.

“Walaupun ia menjadi hak kepada Perdana Menteri dan Kabinet untuk menentukan bila tarikh PRU dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong, tetapi jika sekiranya dalam keadaan yang kita samar-samar, pihak pelabur (mahu membuat pelaburan) dan sebagainya ia akan mengambil kira faktor itu.

Ini pandangan peribadi saya iaitu bersetuju tempoh yang jelas bila PRU akan datang diadakan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Kesiapsiagaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Dalam Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 di Pejabat Lembangan Sungai Klang (PLSK) Kolam Takungan Batu, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim mengulas pandangan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun bahawa penetapan tarikh PRU selepas genap mandat sesebuah kerajaan adalah lebih praktikal sekiranya mahu dilaksanakan di negara ini.

Azhar dilaporkan berkata, ini kerana sistem itu yang sudah digunapakai berdekad lamanya di Amerika Syarikat (AS), Australia, Norway dan Hong Kong akan membantu dalam memudahkan urusan berkaitan perjalanan pilihan raya negara, selain menjimatkan.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, parti itu masih berpegang teguh kepada gagasan penyatuan ummah dan terbuka untuk mengadakan rundingan dan perbincangan, termasuk dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya, pada ketika ini ummah perlu disatukan memandangkan terlalu banyak parti kecil sehingga akhirnya fokus akan hilang.

“Kita lebih suka sekiranya gabungan parti dapat duduk, berbincang bersama dan melihat hala tuju negara dan perkara itu lebih baik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment