Beban kos rawatan jantung dijangka meningkat

KUALA LUMPUR 29 Sept. –  Beban kos rawatan bagi penyakit jantung di negara ini dijangka terus meningkat sekiranya tiada tindakan berkesan oleh semua pihak yang berkepentingan dalam mengawal dan mencegah penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah yang memetik laporan The Direct Healthcare Cost of Non-communicable Diseases in Malaysia tahun ini berkata, dianggarkan RM3.93 bilion daripada jumlah keseluruhan RM9.65 bilion kos penjagaan kesihatan pada 2017 diperuntukkan bagi merawat pesakit jantung.

Oleh itu, kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM) dengan lain-lain agensi termasuk jabatan kerajaan, badan-badan berkanun, swasta dan badan bukan kerajaan amat penting bagi memperkukuhkan tadbir urus penjagaan dan pencegahan penyakit jantung di Malaysia secara lebih menyeluruh.

“Lebih utama, peranan komuniti amat kritikal bagi menjayakan usaha ini,” katanya dalam ucapan aluan Hari Jantung Sedunia yang disiarkan secara maya di Facebook Portal MyHealth KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penyakit jantung atau penyakit kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dunia yang menyebabkan lebih 18.6 juta kematian setiap tahun di seluruh dunia.

Katanya, daripada jumlah kematian itu, 85 peratus disebabkan penyakit jantung koronori seperti serangan jantung dan penyakit serebrovaskular atau strok yang kebanyakannya melibatkan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Di Malaysia, penyakit jantung iskemia masih kekal sebagai sebab kematian utama dengan 18,515 kematian atau 17 peratus dicatatkan pada 2020, meningkat daripada 11.6 peratus pada 2000,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam ucapan perasmiannya menyeru ibu bapa untuk menjadi contoh yang baik kepada anak-anak dalam mengamalkan cara hidup sihat bagi mengawal dan mencegah penyakit termasuk penyakit jantung.

Katanya, gaya hidup yang kurang sihat seperti pengambilan makanan tinggi lemak, garam dan gula, tabiat merokok, tidak bersenam dan tekanan meningkatkan risiko seseorang kepada pelbagai penyakit.

Related posts

Leave a Comment