Peranan penting Malaysia bangunkan Gaza

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam pelbagai peringkat sama ada domestik, serantau dan antarabangsa dalam usaha pembangunan semula Gaza di Palestin.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, berkata dalam konteks geopolitik, Malaysia berada dalam kedudukan strategik bagi menjalin kerjasama erat dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Katanya, negara OIC itu termasuk Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, dan negara Timur Tengah lain yang mempunyai kapasiti ekonomi sangat kukuh.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, kmelalui jaringan ini, usaha pembinaan semula Gaza dapat dilaksanakan secara sistematik dan lebih mampan.

Pada peringkat ASEAN, Malaysia juga boleh menggerakkan inisiatif serantau yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh peranan negara jiran dalam menyokong kestabilan dan pembangunan semula Palestin.

“Pada peringkat domestik pula, IKIM menegaskan bahawa sokongan dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat adalah elemen penting dalam menjayakan misi pembangunan semula Gaza.

Institusi berkaitan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, Permodalan Nasional Berhad (PNB), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), berpotensi memainkan peranan utama dalam menyediakan sumber kewangan, kepakaran teknikal, serta membina jaringan strategik yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan inisiatif ini.

“Selain itu, pembabitan NGO juga wajar diperkasakan bagi menyediakan sokongan logistik dan menggerakkan jaringan sukarelawan dalam mempercepatkan penyampaian bantuan secara berkesan,” katanya

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.

Katanya, usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat GLC, NGO, sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.

Dalam pada itu, Mohamed Azam berkata, inisiatif yang diambil kerajaan itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan Malaysia terhadap kesejahteraan rakyat Palestin tetapi juga menegaskan peranan negara sebagai peneraju dalam memperkukuh solidariti kemanusiaan antarabangsa dan tanggungjawab moral dalam membantu masyarakat yang terkesan oleh konflik.

IKIM turut menyambut baik penubuhan dan pemerkasaan Jawatankuasa Khas Penyelarasan Agensi-Agensi, yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Yayasan Waqaf Malaysia.

“Jawatankuasa ini berfungsi sebagai platform penyelarasan bagi menggembleng potensi dan sumber secara holistik dengan matlamat utama memastikan usaha pembangunan semula Gaza dilaksanakan secara berkesan, berstruktur dan berkesinambungan.

“Kerjasama strategik dengan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri serta organisasi kemanusiaan lain akan diperkukuhkan bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan program bantuan,” katanya.

Dalam konteks itu, Mohamed Azam berkata, IKIM tidak terkecuali akan memberikan kerjasama pada tahap optimum bagi memastikan kejayaan dalam matlamat yang disasarkan.

Katanya, IKIM kekal komited dalam menyokong dan mengukuhkan usaha yang menyumbang kepada pembangunan semula Gaza.

“Ia selaras dengan prinsip keadilan sosial, kemanusiaan sejagat, serta tanggungjawab kolektif dalam membina masyarakat global yang lebih aman dan sejahtera,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment