Surat kerabat diraja Saudi dirujuk

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Surat yang didakwa daripada Kerabat Diraja Arab Saudi dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi hari ini yang kandungannya menyatakan wang tunai AS$100 juta dihadiahkan kepada Najib Razak sebagai menghargai sumbangannya kepada dunia Islam.

Pasukan pembelaan merujuk surat itu kepada saksi ke-37 pendakwaan, iaitu Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi ketika disoal balas oleh peguam bela Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Surat terbabit menyatakan, ia dikirimkan Abdulaziz bin Majid Al Saud yang juga bekas Gabenor Wilayah Madinah, dan menyebut hadiah berkenaan bagi meraikan persahabatan yang terjalin antara mereka dan idea baharu Najib selaku pemimpin Islam moden.

Surat bertarikh 1 Februari 2011, menyatakan hadiah terbabit tidak boleh ditafsirkan sebagai rasuah kerana perbuatan sedemikian melanggar hukum agama, sebaliknya ia sebagai hadiah penghargaan peribadi

Peguam itu turut merujuk saksi kepada dokumen penyata akaun Najib yang menunjukkan terdapat kemasukan wang berjumlah RM2.08 bilion melalui sembilan transaksi ke dalam akaun 211-202- 200969-4 (AM Private Banking MR) pada Mac dan April 2013.

Wan Aizuddin mencadangkan kepada saksi itu bahawa terdapat kesimpulan yang tidak dapat dinafikan bahawa ia adalah alasan mengapa wang terbabit dimasukkan ke dalam akaun anak guamnya.

Bagaimanapun Uma Devi berkata, beliau tidak dapat mengesahkan rumusan itu.

“Saya tidak boleh menyimpulkan sedemikian kerana jumlahnya berbeza dan saya tidak pasti sama ada surat itu dikemukakan kepada pihak bank sebelum transaksi berlaku,” katanya.

Katanya, surat berkenaan tidak pernah disebut oleh bahagian cawangan bank.

Uma Devi memberikan keterangan terhadap Najib, 69, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Related posts

Leave a Comment