Tiada cadangan UMNO PRU masa banjir

SEPANG 28 Sept. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Reezal Merican Naina Merican menjelaskan bahawa UMNO mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan sebelum banjir.

Katanya, adalah tidak benar andaian sesetengah yang.menyatakan UMNO akan mengadakan PRU15 pada musim banjir .

Menurut Reezal, Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataannya sebelum ini turut mencadangkan PRU15 diadakan sebelum berlaku banjir dan bukan ketika banjir.

“Kita tidak mahu rosakkan parti UMNO untuk mengadakan PRU15 pada musim banjir kerana rakyat juga tahu parti ini banyak membantu mereka ketika berhadapan banjir,” katanya pada Majlis Penyerahan Kunci 10 pemilik pertama Fasa Satu The Mulia Residences (TMR) Kumpulan Emkay, di Cyberjaya hari ini.

Reezal yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengulas tindakan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang melancarkan petisyen bagi meminta orang ramai menyokong bantahan pelaksanaan PRU15 ketika musim banjir.

Bagaimanapun ketetapan mengenai pilihan raya umum perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Related posts

Leave a Comment