Santapan malam simposium tekstil

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Istana Negara semalam.

Keberangkatan tiba Seri Paduka, yang merupakan pengasas dan penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja, turut diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Sultanah Kelantan Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.

Turut hadir 400 tetamu terdiri daripada pereka fesyen tempatan dan delegasi penggiat tekstil dari 13 negara yang mengambil bahagian dalam simposium yang berlangsung sejak 25 September hingga Jumaat ini.

Majlis santapan malam itu turut diserikan dengan persembahan kebudayaan serta pertunjukan busana tradisional termasuk songket dan tenun Pahang.

Persembahan kebudayaan itu bagi memperkenal keunikan serta kepelbagaian kesenian, budaya dan etnik Malaysia kepada wakil-wakil negara luar.

Related posts

Leave a Comment