Shafee kembali ke ‘gelanggang Najib’

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Peguam Muhammad Shafee Abdullah kembali ‘ke gelanggang’ bagi mewakili Najib Razak, dalam permohonan semakan keputusan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bulan depan.

Muhammad Shafee mengesahkan demikian ketika sebutan kes pengubahan wang haram RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik bekas Perdana Menteri itu, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini Mohamed Zaini Mazlan, pada Rabu.

“Saya kembali untuk mewakili Najib, meskipun berlaku sedikit `kekecohan’ ketika pendengaran rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan bulan lepas,” katanya.

Mohamed Zaini kemudiannya bergurau dengan menyatakan bahawa peguam tersebut sepatutnya terus mewakili Ahli Parlimen Pekan itu dari awal.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pengurusan kes kali pertama bagi permohonan semakan itu ditetapkan di Mahkamah Persekutuan pada 21 Oktober depan.

Menurutnya, pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan baharu dapat ditetapkan, sementara menunggu pelupusan permohonan tersebut.

Muhammad Shafee turut memaklumkan tarikh pendengaran semakan belum ditetapkan, namun pihaknya telah memfailkan notis perakuan supaya tarikh pendengaran kes dapat ditetapkan lebih awal.

“Permohonan itu difailkan pada 6 September lalu, perlu disegerakan kerana ia melibatkan isu asas yang perlu diputuskan segera, saya jangka permohonan itu akan didengar pada November ini,” katanya.

Najib pada 25 Julai lalu menghentikan perkhidmatan Muhammad Shafee dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan berlangsung pada Ogos.

Susulan itu, Najib kemudiannya melantik peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama pada 21 Julai dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara baharu.

Bagaimanapun, ketika pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 18 Ogos, Hisyam memohon untuk menarik diri selepas panel lima hakim tidak membenarkan prosiding itu ditangguhkan.

Mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan berkenaan.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim berkata, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak permohonan itu, di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Keesokan harinya, Hisyam memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa ZIST diberhentikan khidmat bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 6 September lalu, Najib telah memfailkan semakan terhadap keputusan kes itu.

Beliau turut memohon agar pihak pembelaannya diberikan kebenaran untuk memulakan semakan tersebut sebagaimana yang termaktub dalam Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sebelum hujah didengar.

Related posts

Leave a Comment