Kumpulan GEG tidak perlu peranti alternatif

PUTRAJAYA: Tidak ada sebab untuk membenarkan peranti alternatif menggantikan rokok dalam pelan Generasi Penamat (GEG).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, menegaskan undang-undang baharu itu menyasar individu yang lahir sejak 2007.

Generasi itu katanya tidak sepatutnya diberikan pilihan untuk merokok apa jenis bahan sekali pun.

“Atas sebab apa (untuk benarkan peranti alternatif)? Harm reduction (pengurangan kesan buruk)? Harm reduction adalah untuk mereka yang sudah merokok.

Dalam undang-undang kita benarkan untuk mereka yang lahir sebelum 2007. Untuk mereka yang lahir selepas 2007, kenapa kita nak berikan pilihan kepada mereka merokok apa saja?

“Tidak perlu ada elemen pengurangan kesan buruk kerana mereka (individu yang lahir pada dan selepas 2007) tidak sepatutnya merokok. Kita mahu menghentikan pengenalan (kepada merokok),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agihan Dana Bagi Program Kesihatan Mental kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), di KKM, di sini, hari ini.

Khairy berkata, ketika ini penggunaan rokok elektronik atau vape dilarang serta tidak ada pengawalan dan undang-undang yang mengawal selia.

“Saya sebagai Menteri Kesihatan mahu mengawal selia perkara ini.

“Bila dah ada kawal selia industri maka bolehlah mereka jual dan bolehlah mereka kata ini pengurangan kesan buruk. Tetapi mengapa kita nak perkenalkan tabiat ini kepada generasi muda yang tidak merokok?” katanya.

Related posts

Leave a Comment