Angka kematian kanak-kanak tidak masuk akal

GENEVA – Gencatan senjata di Gaza yang diumumkan lebih lapan bulan lalu hanyalah ‘janji palsu’, selepas 265 kanak-kanak dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara Israel dan Hamas sepatutnya dihentikan.

Jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) James Elder, berkata jumlah kanak-kanak Palestin yang terbunuh sejak pengumuman gencatan senjata adalah ‘ tidak masuk akal dan amat menyedihkan’.

“Dalam tempoh yang sepatutnya menyaksikan usaha menahan diri dan perlindungan, seorang kanak-kanak dibunuh secara purata setiap hari selama lebih lapan bulan.

“Selama berbulan-bulan, dunia diberitahu bahawa terdapat gencatan senjata di Gaza, namun bagi kanak-kanak Palestin, apa yang dipanggil gencatan senjata ini telah menjadi satu ilusi kejam dan berdarah,” katanya kepada pemberita di Geneva.

Katanya , pembunuhan kanak-kanak yang berterusan bukan kerana tiada jalan penyelesaian, tetapi disebabkan ‘tiada kemahuan politik’.

Elder menegaskan kanak-kanak yang terbunuh selepas gencatan senjata diisytiharkan itu ‘bukan terbunuh di zon perang’ sebaliknya maut ketika di rumah, di sekolah, ketika bermain bola sepak dan ketika memancing.

“Jika seorang kanak-kanak dibunuh setiap hari, pastinya perdebatan bukan lagi mengenai keberkesanan gencatan senjata itu. Ia mengenai kredibiliti untuk memanggilnya sebagai gencatan senjata,” katanya.

Antara kes terbaharu minggu ini, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditembak mati oleh tentera Israel, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun ditembak mati di dalam khemah, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dan bapanya terbunuh akibat serangan Israel.

Selain itu, lebih 400 kanak-kanak turut cedera sejak gencatan senjata diumumkan, dengan ramai mengalami kecederaan parah.

Elder berkata, ketika ini ratusan kanak-kanak memerlukan pemindahan perubatan segera, namun sekatan terhadap bekalan ubat penting menyebabkan mereka menanggung kesakitan lebih lama serta meningkatkan risiko jangkitan, komplikasi dan kehilangan anggota badan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment