Rundingan Iran-AS masuki fasa seterusnya

ISTANBUL – Rundingan Iran dan Amerika Syarikat (AS) melalui orang tengah berjalan bagi fasa seterusnya untuk merangka perjanjian muktamad, selepas mesyuarat yang dirancang di Switzerland ditangguhkan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei memaklumkan pada Jumaat  butiran mengenai pusingan rundingan seterusnya akan diumumkan sebaik sahaja syarat-syarat untuk perbincangan itu dipenuhi.

Bercakap kepada pemberita di Tehran, Baghaei mengesahkan bahawa mesyuarat di Switzerland yang dijadualkan pada Jumaat telah ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Baghaei berkata rundingan mengenai perjanjian muktamad adalah tertakluk kepada pelaksanaan beberapa fasal dalam memorandum, termasuk gencatan senjata, penarikan balik sekatan maritim AS, pembukaan semula laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, pengecualian untuk eksport minyak Iran serta pelepasan aset Iran yang dibekukan.

Beliau turut menafikan laporan bahawa Iran telah menjemput Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memeriksa kemudahan nuklearnya.

Baghaei berkata perbincangan mengenai program nuklear Iran akan berlangsung selama 60 hari di bawah memorandum berkenaan, manakala aktiviti nuklear sedia ada akan kekal tidak berubah dalam tempoh itu.

Katanya, pemeriksaan di tapak seperti Bushehr akan diteruskan, manakala akses ke kemudahan yang terjejas akibat serangan AS dan Israel akan bergantung kepada hasil rundingan.

Menurutnya,  satu daripada tujuan mesyuarat di Switzerland itu adalah untuk menandatangani memorandum dan membincangkan persiapan bagi rundingan peringkat akhir, namun ia tidak lagi diperlukan selepas dokumen berkenaan ditandatangani secara digital pada 18 Jun.

Terdahulu, Kementerian Luar Switzerland menyatakan bahawa rundingan yang dirancang antara AS, Iran, Qatar dan Pakistan telah ditangguhkan, sambil menambah bahawa pihaknya sentiasa bersedia untuk memudah cara dialog berkenaan.

Pengumuman itu dibuat selepas Rumah Putih memaklumkan bahawa Naib Presiden AS JD Vance tidak akan ke Switzerland berikutan isu logistik yang belum selesai bagi rundingan teknikal dengan Iran.

Pada Rabu, Presiden AS Donald Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian menandatangani “Memorandum Persefahaman Islamabad” secara elektronik, yang diisytiharkan melalui pengantaraan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif.

Nnn

Related posts

Leave a Comment