Henti sebarkan dakwaan kes culik

KOTA BHARU 27 Sept. – Polis Kelantan memohon kerjasama rakyat khususnya warga maya di negeri itu supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kes culik sehingga menimbulkan ketakutan orang ramai.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di pekarangan sekolah yang berlegar-legar di laman media sosial sejak kebelakangan ini adalah tidak berasas.

Katanya, beberapa posting yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan mendorong PDRM khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.

“Dakwaan yang mengaitkan individu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tertentu juga disiasat namun kesemua dakwaan itu tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kabak,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lalu sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Hasil siasatan mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai niat untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain.

“Dakwaan sama turut berlaku di daerah Kuala Krai baru-baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah itu.

“Bila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ,” katanya.

Katanya, pada awal September lalu, seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan di kawasan Masjid Muhammadi apabila dia dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak kanak.

Justeru beliau mengingatkan mereka yang terbabit menyebarkan maklumat tidak betul adalah salah dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis memohon orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment